Friday, September 21, 2012


Surat terbuka tulisan abang saya di Sabahkini.net. Telah di post pada 7 September 2012.


Saudara Pengarang,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua para pengendali Sabahkini.net kerana bersusah payah kerana mewujudkan ruang seperti ini untuk kepentingan anak jati Sabah.

Di sini saya terpanggil untuk mendedahkan serba sedikit tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung yang menggunakan jalan raya Melinsau-Ranau. Jalan ini merupakan asalnya adalah jalan balak dan menghubungkan lebih 30 kampung iaitu lebih kurang 3 buah mukim.
Jalan inilah yang menghubungkan penduduk kampung ini ke Pekan Ranau atau dunia luar samada untuk tujuan mencari makan, belajar ataupun sekadar untuk bersuka ria.

Namun apa yang mengecewakan, BN telah memegang kawasan ini semenjak kejatuhan PBS iaitu pada tahun 94 dan seingat saya yang kini berumur 28 tahun dan mula mengetahui perjalanan politik bermula pada tahun 1998 iaitu tahun DSAI telah ditangkap dan Sukan Komanwel diadakan di negara kita, sehingga kini keadaan jalan masih atau bertambah teruk berbanding sebelumnya.
Namun diakui telah ada perubahan iaitu mula diturap dari simpang Bengkud ke Kg. Napong iaitu termasuk dalam RMK-10 iaitu projek jalan Malinsau-Kota Marudu. Bagaimanapun, pembinaan ini telah dihentikan kerana telah habis budget untuk Fasa pertama.

Menambah buruk lagi jalan ini telah ditinggalkan begitu sahaja tanpa ada apa-apa penyelenggaraan semula. Jalan ini akan berhabuk semasa kemarau dan akan berlopak yang sangat teruk sekali apabila hujan. Kedengaran cerita, jalan ini akan disambung pada Fasa ke - 2 yang tidak tahu bila.
Saya teringat ucapan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi (bekas bertanding di P. 179 Ranau), semasa beliau mula-mula berkempen di Kg. Timbua, yang mengatakan jika beliau menang di kawasan ini, keperluan asas (Jalan, Elektrik, air, Kesihatan, dan Pelajaran) akan ada kemajuan.

Namun amat mengecewakan kami kerana setelah dua penggal beliau memenangi Parlimen P.179 Ranau, tidak ada langsung perubahan sepertimana yang beliau janjikan. Hanya pada penghujung tahun lepas barulah eletrik mula disambung di beberapa Kg. di Mukim Timbua.
Ada antara anda yang mungkin tidak percaya bahawa zaman yang serba moden ini masih ada yang belum pernah merasai bekalan elektrik 24 jam walaupun rumahnya hanya 24 km dari pekan Ranau.

Jalan hanya mula dibuat pada penghujung tahun 2010 atau awal 2011 tapi seperti "melepaskan batuk di tangga". Kini (2012) baru kelihatan kontraktor yang menanam batang paip air di tepi jalan setelah dua penggal beliau menumpang di Ranau, dan batang paip ini mula ditanam setelah satu penggal penuh Datuk Siringan Gubat menggantikan tempat beliau. Namun tidak pasti bila bekalan air ini akan boleh digunakan oleh orang kampung, mungkinkah selepas 3 penggal akan datang?

Saya terharu apabila PM kita melaungkan; "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan, tidak kira rakyat di pedalaman, akan merasakan pembangunan dalam gagasan 1Malaysia."
Namun kata-kata itu sangat mengecewakan. Itu baru sahaja jalan, elektrik dan air, belum lagi kemudahan pembelajaran, hospital dan sebagainya. Jalan raya Ranau Melinsau ini pernah digelar oleh seorang Pemimpin Pembangkang Ranau sebagai 'Jalan Kambing'? Apakah penduduk di tiga mukim ini hanya layak menggunakan jalan seperti itu?

Kini terdapat beberapa Jentera yang sedang beroperasi namun kelihatannya, seolah-olah 'Jangan Tidak Sahaja'. Sehubungan itu, saya meminta agar pihak berkuasa mengambil berat tentang isu ini kerana keseluruhan penduduk di sini adalah Bumiputera yang layak mengundi.
Adakah perlu penduduk kampung mengalihkan sokongan kepada Pakatan Rakyat barulah kami dapat merasai enaknya memakan makanan segar dari peti sejuk setelah hampir 49 tahun diperdaya Kerajaan Pusat yang 'Janjinya Belum Ditepati!'

Salam Hormat,
MUHARI MUJIN

Sunday, April 5, 2009

Politik Sabun

Tidak ada sumber rujukan yang dapat saya kemukakan untuk memberi takrif Politik Sabun. Rasanya (mungkin) penggunaan istilah Politik Sabun ni hanya popular di Sabah. Permainan politik yang diumpamakan seperti sabun. Hanya hangat, berbuih-buih mulut berjanji tapi hanya sebentar saja selepas kepentingan (hajat) mereka tertunai, selepas calon tu menang besar akhirnya janji umpama buih sabun yang akan hilang lurut ke bawah mengikut alir air mengalir.

Mintalah apa sekalipun, minta jalan raya, minta bekalan elektrik, minta zink, mesin rumput, tv, kambing semua akan di beri tapi selepas menang. Sangguplah mereka berhabis duit masa tu, turun padang, masuk kampung sanggup hanya dengan kereta, berjiwa rakyatlah kunun. Tapi bila terlimpas semua tu, sorilah gaman.. dapat jemputan merasmikan sukan sekolah datang bukan dengan kereta tapi naik lukaptor (helikaptor) dengan alasan naik kereta nanti akan ambik masa, sakit badan sebab jalan tidak bagus, mahu cepat sebab banyak urusan. Banyaklah alasan.

Selepas tiga penggal pilihan raya dari 1994 campur tahun 2008, 20 tahun sudah berlalu, janji memberi kemudahan jalan raya berturap, elektrik 24 jam sehingga sekarang masih belum tertunai. Ini baru di kawasan perkampugan saya, belum lagi di tambah campur dengan kawasan penempatan yang lain. Lima tahun yang pertama mungkin masih boleh diterima logik akal bahawa proses untuk meluluskan peruntukan tu mengambil masa tapi ini sudah bertahun-tahun, apa yang mereka janjikan belum tertunai. Tidak munasabah. Di semenanjung, jalan raya berturap yang berlubang pun boleh menjadi satu isu yang besar, semua golongan saling bertuding jari mencari siapa yang salah tapi di sabah, khususnya di tempat kelahiran saya jalan utama yang langsung tidak berturap, malah menjadi masalah apabila musim hujan kerana tidak boleh dinaiki kenderaan, jalan terlalu licin tapi keluhan rakyat terus di pandang sepi oleh pihak pemerintah. Mana Hak kami Wahai Pemerintah? Di mana keadilan?

Kalau di semenanjung ada tempat yang sehingga ke laluan-laluan sawah padi pun diturap tapi tempat saya bukan laluan sawah padi tapi jalan utama kegunaan harian, jauh sekali berturap, berbonggol-bonggol. Disini saya tidak bermaksud untuk menyalahkan penduduk semenanjung tapi golongan pemerintah.

Pernah dulu, saya ke pekan dengan menaiki lori (sehingga sekarang masih ada yang menggunakan kemudahan ini). Masa perjalanan dalam satu jam setengah, sebenarnya untuk sampai ke pekan tu tidaklah lama sangat kalau jalan tu berturap, mugkin empat puluh lima minit boleh sampai tapi kerana jalannya yang teruk, di tambah lagi dengan kenderaan lori yang hanya beratap kanvas tidak berdinding, bermasalah apabila hujan dan matahari terlalu terik.

Bila masa hujan, Ya Ampun jangan cakaplah, lain lagi dengan rasa sejuk di tambah pula dengan kain kanvas yang berlubang, barang-barang dengan penumpang sekali basah. Dan dalam masa perjalanan tu, bertambahlah derita kalau ada jalan runtuh, jalan berbukit yang licin maka berkorbanlah penumpang lelaki untuk menolak kenderaan tersebut dari bahagian belakang. Tidak terfikirkah pemerintah, wakil-wakil rakyat betapa deritanya ni?

Bila musim panas pula, juga menjadi masalah ini kerana jalan utama akan berhabuk, kepanasan yang berlaku menyebakan jalan akan menjadi kering. Kalau dalam filem koboi, hero yang menunggang kuda apabila meninggalkan seterunya di belakang, seterunya tu memang makan habuklah, habuk berkepul-kepul. Begitulah juga dengan penduduk kampong yang ke pekan dengan hanya menaiki lori, bila berselisih dengan kereta lain ataupun ada kereta yang memintas terpaksalah si pemandu lori memperlahankan kereta untuk mengelakan penumpang-penumpang bermandi habuk. Sehingga ada penumpang yang tidak memakai minyak rambut di awal perjalanan, sampai di pekan barulah mencari tandas untuk berkemas ini untuk mengelakan rambut mengeras terkena habuk. Rambut yang asalnya hitam menjadi kuning, baju turut menjadi seakan-akan lusuh.

Tapi kesan utama masalah ini selain keselesaan adalah dari segi kesihatan. Selain penumpang yang mendapat bahaya dari segi kesihatan disebabkan habuk ini, tumbuhan di sepanjang jalan turut mendapat kesan. Tidak lagi terlihat kehijauan pada daun-daun pokok, yang ada cuma warna kuning yang menutup warna hijau daun, warna habuk yang berterbangan.

Saya bukan ahli mana-mana parti politik, juga tidak berminat dengan politik sekadar mengikuti perkembangaan ini kerana kita turut terkena tempias kesan politik yang berlaku. Menolak atau menerima semua yang berlaku, kita sebagai rakyat biasa yang akan melalui semua dasar-dasar yang di buat oleh parti Pemerintah, terpaksa akur tidak mempunyai pilihan lain. Bila kita mengkritik di katanya kita tidak bersyukur dengan bantuan kerajaan, membantah di katanya pula kita derhaka. Maka, di sini (mungkin) adalah lebih baik jika kita mengikuti perkembangaan politik semasa supaya tidak hanya mengikut belakang orang lain. Biarlah kita punya pendirian sendiri.

Seperti yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir, “ sebenarnya hampir semua peserta Bumiputera di Konvensyen ini (Konvensyen Ekonomi Bumiputera di UKM ), samada mereka ada di bawah atau di atas pentas ini telah mendapat faedah daripada Dasar Ekonomi Baru. Sekiranya mereka sudah berkerja, saya pasti pendapatan mereka jauh lebih tinggi dari pendapatan ibubapa mereka dahulu. Sekiranya mereka masih belajar, itu juga bererti pendapatan mereka telah bertambah kerana pada hakikatnya yuran untuk membiayai seorang pelajar di university tidak mungkin mampu di tanggung oleh keluarga miskn. Samada mereka mendapat biasiswa atau tidak, sebahagian besar perbelanjaan bagi memberi pelajaran kepada mereka di tanggung oleh kerajaan…sungguh bertentangan dengan islam kalau kita tidak mengendahkan pemberian yang kita perolehi dan sebaliknya mengutuk pemberi (kerajaan), lebih-lebih lagi memandangkan kita (bumiputera) miskin dan memerlukan bantuan. Beliau menambah, “sejak kita merdeka dan sejak DEB dilancarkan ramai di antara kita, sesungguhnya kesemua kita Bumiptra (muslim) telah menerima banyak faedah baik secara langsung mehupun secara tidak langsung. Hakikat ini perlu di akaui. Kita mesti mengingat dan bersyukur kerananya.” di petik dari buku Pelindung(protector) tulisan Dr Chandra Muzaffar

Bila ada yang melawan arus, modal pemerintah adalah seperti yang di atas. Meminta-minta, tidak sabar, tidak bersyukur tapi bila saja masa mengundi di sayang-sayangnya rakyat hingga sanggup tinggalkan anak isteri. Kita mahu ingatkan bahawa tanggungjawab tu amanah yang akan dituntut di akhirat tapi sayang pemimpin bukan beragama islam. Ada pemimpin islam tapi bila ada keramaian minta dirai dengan hiburan dan sagantang. Dilihatnya kita (penduduk kampung) senang untuk di gula-gulakan, tidak mampu buat apa-apa tindakan. Siou ne, kami tidak sebodoh itu. insyaAllah, seperti tsunami politik 2008 ianya pasti akan berlaku di sana sekiranya tuntutan kami masih di pandang kosong.

Semua tu saya kisahkan hasil dari apa yang saya lalui, kita bukan meminta-minta tapi kita menuntut hak. Saya kesian dengan penduduk kampong sehingga kini, terpaksa bergelap pada waktu malam yang hanya diterangi lampu minyak tanah, mengambil masa yang panjang sehingga sepertiga siang untuk pergi dan balik ke kawasan pekan. Ke pekan untuk membeli minyak sehingga bergelen-gelen untuk keperluan harian. Tidak boleh diterima logik akal zaman moden menuju wawasan 2020 pun masih ada lagi yang malamnya hanya diterangi lampu miyak tanah. Ini bukan black out juga bukan mengikuti kempen bergelap selama sejam tapi ini penderitaan. Sehingga ada keluarga yang me'recycle’ semula cairan lilin untuk menerangi seisi keluarga. Cairan lilin dikepal-kepal untuk membalut tali yang akan dibakar dan dalam masa yang sama cairan itu ditadah semula ke dalam tin untuk kegunaan hari esok pula.

Kami masih di rumah yang sama, di pintu yang sama cuma saja bilik yang berbeza tapi tidak di endahkan. Tidak merasa kemudahan dan kemajuan yang sama. Wahai pemerintah, tidak dapat di dunia sehingga ke akhirat hak ini akan saya tuntut. Tidak kira pemimpin pemerintah di bahagian daerah hingga ke pusat semua terangkum sekali. Jangan gila mahu jadi pemimpin kalau hanya nama, pangkat dan harta yang dikejar, jawatan tu jangan diminta-minta itulah yang membuatkan seribu satu janji di cipta.

Suara kecil ini jangan dipandang sepi, kami ramai gunung kinabalu tu mampu kami ratakan walaupun mengambil masa..ya, sikit-sikit lama-lama jadi rata. Sedar, peka dan bertindaklah wahai pemerintah!!!

Saturday, February 28, 2009

Mentaliti urang kita. (panansawa)

Selepas setahun tidak balik ke kampung, selepas berlakunya tsunami politik, saya terlalu berharap yang akan berlaku perubahan di tanah kelahiran, di tempat saya mendaftarkan kelahiran, perubahan dari segenap sudut. Persepsi dari mentaliti yang terlalu menjijikkan, merasa diri hebat dari orang lain, merasa mereka lebih mulia, lebih tau dari orang lain. Odoi dogo, inilah antara faktor yang mengongkong kemajuan berlaku di sana. Di sini saya mengambil contoh, kami masih di daerah yang sama cuma saja kawasan perkampungan yang berbeza. Saya bukan mereka-reka tapi inilah kenyataan.

Penduduk dari kawasan kampung kami digelar “panansawa” yang mereka maksudkan sebagai ketinggalan dari semua segi samada kemajuan metarial, pendidikan, cara berpakaian, pengetahuan agama. Selalunya orang yang memberi gelaran ni mereka yang tinggal di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan pekan, yang rasa mereka maju dari segi pendidikan, kemudahan jalan raya, elektrik, selalu mengikuti perkembangaan semasa, almaklumlah kawasan kami tu masih ketinggalan dari segi kemajuan sosial.

Kami tidak minta dihormati, namun kami punya hati nyanyian revolvers. Kami juga ingin kemudahan sosial seperti mereka tetapi kerana sifat politik pemerintah yang hanya memajukan kawasan yang mereka lihat berkepentingan. Ketidakadilan dalam kemajuan. Dari usia kanak-kanak sehingga sekarang dalam 20-an, janji untuk memberi kemudahan jalan raya, elektrik masih belum tertunai, mungkin janji ni akan terus jadi isi penting dalam berkempen sehingga generasi cucu anak buah saya.

Manakala dari sudut agama pula, golongan mereka rasa mereka lebih tau padahal kalau kita susur galur sejarah kaum dusun ni asalnya tidak beragama “pagan”, tetapi setelah datangnya sinar Islam dan agama Kristian maka orang-orang dusun mula terbahagi kepada yang mengganut Islam dan Kristian. Hanya saja kerana mereka terlebih dulu memeluk Islam. Mungkin mereka terlupa ataupun sedikit terleka bahwa Agama yang ada ni untuk dihayati, diamalakan bukan untuk di bangga-banggakan. Yang akan dinilai oleh Allah itu adalah takwa.

“Panansawa betul oh” inilah contoh ayat penggunanan perkataan panansawa. Saya sendiri pun pernah menerima ayat ini. Kerana darjat perbezaan kami, hanya saja bapanya berkerja sebagai kakitangan kerajaan, mempunyai sedikit lebih ilmu agama, tinggal di kawasan yang berdekatan dengan pekan, mempunyai kereta mewah yang kalau dibandingkan dengan saya yang perlu menaiki lori untuk ke pekan maka di gelarnya saya ni panansawa.

Terlalu berJIWA HAMBA. Jiwa Hamba tulisan Azizi Hj Abdullah, memetik sedikit dari buku beliau. Berfikiran Sempit. Berfikiran sempit kerana kekhilafan pemikiran, khilaf terhadap identiti juga kepada agama Islam yang tidak pernah difahami bersungguh-sungguh. Dari segi kemajuan berfikir, ia sangat menakutkan, yang membenih pula kepada satu generasi yang tiada daya untuk berfikir lebih daripada apa yang dimilikinya secara tradisi.

Kisah ni di petik dari Jiwa Hamba.

Encik X berusia 30-an. Memiliki seorang isteri yang comel berwajah mirip seperti orang cina. Bermata sedikit sepet, berkulit putih melepak, berambut lurus panjang. Sedikit malang isteri X masih tidak memakai tudung.

Satu hari X dengan isterinya ke majlis kenduri kahwin kawannya. Seperti kebanyakan perempuan lain, isteri X hanya berpakaian biasa dengan solekan ala kadar. Mereka duduk di meja panjang yang sudah tersedia makanannya. Ketika hendak mula makan, datang seorang budak perempuan yang berusia enam tahun, bertudung bersama-sama bapanya yang berserban dan ibunya berjubah dan bertudung penuh. Budak perempuan itu terus duduk di sisi isteri X dan isteri X memberi senyum dan mempelawa makan bersama.

Alangkah terkejutnya X dan isterinya apabila bapa kanak-kanak perempuan itu menarik tangannya dan ibunya juga melarang duduk bersama isteri X. Si bapa berbisik ke telinga anaknya, “Tak boleh duduk dekat meja ini. Kita tak boleh makan bercampur dengan orang kafir.”

Cuba anda bayangkan, suami isteri yang berpenampilan begitu yang kononnya mengikut sunnah, yang berstatus seperti orang yang faham benar tentang agama bersikap begitu. Si anaknya sudah diberi pengajaran yang salah dan telah disempitkan pemikiran tentang agama Islam.

Bolehkah ia dianggap sebagai penyakit berfikiran sempit? Ia berlaku kepada penduduk khususnya umat Islam di daerah saya. Sehingga sampai tahap apabila mereka melihat kenderaan seperti kereta atau motosikal yang disaluti lumpur ataupun kereta yang tidak terjaga kebersihan bahagian luarnya, mereka akan cakap “oh, ni mesti baru dari kampung B kan.” Terlalu buruk persepsi mereka, padahal yang membezakan kami cuma saja jalan raya untuk ke kampung kami tidak berturap, tidak mempunyai kemudahan elektrik.

Tingkah laku yang buruk tu bermula dari hati yang juga buruk. Masa sekolah menengah dulu, saya bersekolah di kawasan pekan. saya ada seorang guru yang telah membuat satu formula baru untuk lebih mudah mengingat dan memahami matapelajaran sejarah, pencapaian yang cukup membanggakan sehingga mampu menulis buku tapi bila dijemput untuk membuat seminar selama seminggu di sekolah kawasan perkampungan saya tu, dia lebih memilih untuk menolak walaupun dibayar. “Cikgu tidak sanggup lah pigi sana, teruk jalan, biarlah sekolah tu bayar mahal sekalipun.” Teruknya guru ni, bukannya dengan bangsa lain, bukan dengan agama lain, juga bukan di daerah yang lain.

Kalau golongan pendidik pun bermentaliti seperti ini, yang menjadi wadah pembangunan ilmu. Habislah, hancurlah semua. Harapan saya terlalu tinggi untuk melihat perubahan dari segenap ruang. Mentaliti yang suka membeza-bezakan kumpulan, mengketegorikan sesetengah pihak. Tapi perlu ada pihak yang memulakan.